
YBhg. Datuk Haji Omar Bin Abd. Rahman (barisan depan, lapan dari kiri) menunjukkan sijil yang diterima daripada MBOR bersama sebahagian pelajar dan petugas Kolej Komuniti Kuala Langat yang menghasilkan Jalur Gemilang terpanjang daripada tempe di Kuala Langat
KUALA LANGAT 13 Sept. - Pelbagai cara dilakukan oleh sama ada individu atau kumpulan untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.
Bagi 200 warga Kolej Komuniti Kuala Langat, mereka mendapat idea unik untuk mencipta rekod tersendiri sempena Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan ke-55 kolej itu hari ini apabila menghasilkan Jalur Gemilang menggunakan makanan kegemaran rakyat iaitu tempe.
Usaha mereka itu telah direkodkan dalam Malaysia Book of Record (MBOR).
Proses menyiapkan Jalur Gemilang sepanjang 503.4 meter dan selebar 0.95 meter daripada 28,880 keping tempe itu mengambil masa 27 jam, bermula pukul 9 pagi semalam dan berakhir pada pukul 12 tengah hari, hari ini.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Pengurusan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Omar Abdul Rahman, kejayaan warga Kolej Komuniti tersebut menandakan masih ramai lagi anak muda yang menyanjung tinggi Jalur Gemilang.
Saya mengucapkan tahniah kepada 200 warga Kolej Komuniti Kuala Langat yang terdiri daripada pelajar, kakitangan, termasuk komuniti setempat iaitu enam pengusaha tempe yang menyediakan 28,880 tempe untuk dijadikan Jalur Gemilang terpanjang.
Kita tidak dapat terima jika ada pihak tidak menghormati Jalur Gemilang dan menghina pemimpin negara, namun hari ini saya merasa bangga apabila pelajar-pelajar yang terdiri daripada orang muda menghasilkan Jalur Gemilang daripada tempe bagi meraikan hari kemerdekaan negara," katanya dalam ucapan perasmian penutup Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan di Kolej Komuniti Kuala Langat.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Amir Md. Noor dan Pengerusi Penasihat Kolej Komuniti Kuala Langat, Datuk Sulaiman Karli.
Sulaiman ketika ditemui berkata, pemilihan tempe bagi menghasilkan Jalur Gemilang terpanjang merupakan satu usaha mempromosikan tempe iaitu makanan tradisi orang Jawa yang boleh dijadikan sebagai ikon makanan sihat.
Sementara itu, wakil MBOR, Zulhairi Md. Zin menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Omar yang mewakili keseluruhan warga kolej komuniti tersebut.
Sumber:Utusan Online, Kosmo, Berita TV9-part1, Berita TV9-part2